Secara purata, kita menggunakan satu pertiga daripada hidup untuk tidur. Ketika saintis masih lagi mencari punca mengapa kita tidur, tidak dapat dinafikan bahawa tidur adalah penting untuk tubuh badan kita seperti makan, minum dan bernafas. Tidur mungkin kelihatan seperti satu aktiviti di mana tubuh badan sedang berehat tanpa melakukan apa-apa, tetapi sebenarnya, ketika tidur, tubuh badan kita sedang bekerja keras.
Tidur malam yang mencukupi membuatkan kita berasa lebih segar. Apabila mendapat tidur yang mencukupi, kita akan bangun dengan rasa lebih segar, lebih peka dan lebih gembira. Selain dari mengembalikan tenaga kita, terdapat banyak lagi kebaikan tidur yang membantu memulihkan tubuh badan.
1. PENUMBUHAN DAN PEMULIHAN TISU
Ketika tidur, otak kita menghasilkan hormon yang menggalakkan pertumbuhan dan penjanaan semula tisu untuk memperbaiki pembuluh darah. Hormon tersebut meningkatkan sel darah, mewujudkan lebih banyak sel darah putih yang membantu melawan virus dan bakteria. Sistem imunisasi kita bergantung kepada tidur dalam membantu tubuh badan untuk pulih dari jangkitan penyakit, pembedahan dan trauma.
2. MEMORI DAN KONSENTRASI
Kajian mendedahkan bahawa ketika kita tidur, memori dan kemahiran yang dipelajari diperkuatkan dan ditambah baik dengan beralih ke kawasan otak yang lebih efisyen dan kekal, ianya satu proses yang dikenali sebagai ‘penyatuan memori’. Tidur juga membantu meningkatkan kemahiran menyelesaikan masalah, konsentrasi dan produktiviti.
3. KESIHATAN TULANG
Tahukah anda tidur malam yang baik memberi kesan terhadap kesihatan tulang? Ketika tidur, tulang kita berada dalam keadaan pembaikan yang berterusan, mengganti tisu tulang yang lama dengan yang baru dan membentuk semula tulang yang lemah disebabkan kerosakan mikro yang berpunca daripada aktiviti harian. Penyelidik di Kolej Perubatan Wisconsin juga mengesan hubung kait antara kekurangan tidur yang kronik dengan ketaknormalan dalam perkembangan tulang dan tulang sumsum dan ketumpatan tulang yang lebih rendah.
4. JANTUNG LEBIH SIHAT
Tidur yang berkualiti mengurangkan beban terhadap jantung anda, kerana tekanan darah dan kadar degupan jantung menurun pada waktu malam. Sementara itu, orang yang kurang tidur atau tidur terlalu banyak berisiko tinggi untuk menghidap Hiperlipidemia, di mana keadaan kolesterol di dalam darah berada pada tahap tinggi, yang boleh menjadi punca serangan jantung atau strok.
5. BERAT BADAN YANG SIHAT
Kurang tidur boleh menganggu keseimbangan hormon ghrelin dan leptin di dalam badan, di mana kedua-dua hormon ini boleh mengawal atau menambah selera makan yang menyebabkan pengambilan kalori berlebihan sehingga berat badan bertambah. Satu kajian yang dilakukan oleh American Journal of Clinical Nutrition menunjukkan bahawa mereka yang mendapat rehat yang mencukupi makan kurang 300 kalori sehari berbanding orang yang tidak cukup rehat. Jadi, mula kawal berat badan anda dengan tidur mengikut jadual.
6. MENGAWAL EMOSI
Tidur dan emosi mempunyai kaitan yang rapat; kekurangan tidur boleh menyebabkan emosi terganggu dan tekanan, sementara mengekalkan corak tidur yang sihat dapat membantu meningkatkan kesejahteraan emosi. Insomnia yang kronik boleh meningkatkan risiko gangguan emosi, seperti kebimbangan dan kemurungan. Jadi, tidurlah dengan cukup dan kekal gembira!