Kehidupan yang sihat bermula daripada tabiat yang baik. Ayuh mulakan hari ini. Bagaimana ingin bermula? Cuba buang tabiat buruk berikut.
1. Merokok
Tiada orang boleh menafikan kesan buruk daripada merokok. Jika ingin disenaraikan penyakit yang disebabkan oleh tabiat ini, antaranya ialah:
- Kanser paru-paru.
- Penyakit Pulmonari Obstruktif Kronik (COPD).
- Ulser perut.
Dapatkan bantuan dan sokongan dari keluarga, rakan, dan staf kesihatan. Terdapat banyak cara yang boleh membantu anda berhenti asalkan ada komitmen dan keinginan yang kuat. Walaupun sudah banyak kali mencuba, jangan pernah putus asa!
2. Alkohol
Minuman alkohol sudah terbukti menunjukkan kesan yang buruk mengatasi manfaat yang mungkin ada. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pengambilan alkohol membunuh lebih 3 juta orang setiap tahun oleh pelbagai sebab seperti kemalangan jalan raya, gangguan saluran pemakanan, penyakit jantung, penyakit hati dan gangguan mental.
Malah, ada kajian mengatakan bahawa tiada kadar yang selamat bagi pengambilan alkohol. WHO juga menyeru agar semua negara mengambil langkah efektif dalam mengurangkan pengambilan alkohol. Di peringkat individu, kita juga harus mengorak langkah sama untuk meningkatkan tabiat ini.
3. Makan terlalu kenyang
Saiz perut setiap orang mungkin berbeza. Selain melakukan kiraan bilangan keperluan kalori harian anda secara objektif, petanda mudah untuk anda berhenti makan ialah apabila mula rasa kenyang. Jangan tunggu sehingga tiada lagi ruang di dalam perut anda untuk berhenti.
Makan terlalu kenyang membuatkan perut terpaksa bekerja lebih dan ia mendedahkan kepada ketidakhadaman, seterusnya keadaan seperti gastrik dan pedih ulu hati. Lebihan kalori itu pula akan disimpan dalam bentuk lemak.
4. Rehat terlalu lama
Anda perlu bergerak untuk terus sihat lebih-lebih lagi dalam dunia hari ini yang tidak memerlukan anda bergerak dengan banyak. Makan, teksi, dan membeli-belah semuanya boleh dilakukan menggunakan hujung jari.
Ambil sedikit masa untuk mengeluarkan peluh 2 hingga 3 kali seminggu. Aktiviti fizikal mengurangkan risiko penyakit kronik seperti jantung, kencing manis, dan strok. Mulakan sedikit demi sedikit.
Jom hidup dengan sihat!
Sumber : Hello Doktor