Jadi, bagaimana kita mahu ubah gaya hidup kita menjadi lebih sihat?
Di sini saya senaraikan 10 cara yang boleh kita sama-sama lakukan sebagai usaha mendapatkan badan yang sihat.
Jika tidak ikuti kesemuanya pun, sekurang-kurangnya bermulalah dengan 1-2 langkah dahulu, kemudian tambah lagi sedikit demi desikit.
- Diet Sihat dan SeimbangUntuk medapatkan badan yang sihat, kita tidak dapat lari daripada menjaga pemakanan supaya ia seimbang dan menyihatkan badan.
Gunakan panduan Pinggan Sihat Malaysia yang memberi gambaran mudah bagaimana kita nak bahagikan kumpulan makanan harian kita pada pembahagian pinggan kepada suku suku separuh.
Suku nasi atau apa saja jenis karbohidrat seperti mi, bihun atau kuey teow.
Suku lauk yang berasaskan ikan, ayam atau daging.
Separuh adalah sayur-sayuran dan buah-buahan.
Amalan diet yang sihat juga adalah dengan mengurangkan pengambilan makanan dan minuman yang tinggi kandungan gula.
Jenis makanan segera seperti biskut, roti putih, bijirin sarapan, donut dan kek juga harus dielakkan sebaiknya.
Begitu juga dengan makanan daripada rantaian restoran makanan segera yang menyediakan burger, pizza dan ayam goreng.
Jika anda masih keliru bagaimana untuk amalkan pemakanan yang seimbang, panduan Starter Pack: Makan Lebih Sihat ini pasti dapat membantu anda.
Menjaga Berat Badan
Seperti amalan pemakanan yang sihat, kita tidak dapat lari daripada isu kegemukan (obesiti) dalam mendapatkan kesihatan yang baik.
Jika berat badan anda dalam kategori gemuk atau obesiti, anda dalam bahaya. Anda harus fokus kepada usaha mengurangkan berat badan.
Ini kerana, kiraan BMI pada tahap obesiti meningkatkan pelbagai risiko penyakit seperti kencing manis, serangan jantung, strok, kanser dan banyak lagi.
langkah-langkah untuk mengawal BMI dan berat badan harus dilakukan dengan berterusan dan bukannya hangat hangat tahi ayam.
Ia boleh dilakukan dengan menjaga kualiti kalori makanan, mengurangkan gula, berpuasa dan bersenam secukupnya.
Jangan terperangkap dengan produk atau pil kurus pula ya.
Bersenam
Terdapat banyak kebaikan apabila kita bersenam, ia dapat meningkatkan reaksi badan kepada hormon insulin, menguatkan otot dan jantung, meningkatkan metabolisma, mengawal tekanan darah dan juga bantu mengawal tekanan emosi.
Semua kesan tersebut menyumbang kepada kesihatan yang lebih baik.
Reaksi badan pada insulin yang baik mengurangkan risiko kita untuk mendapat kencing manis.
Jantung yang sihat mengurangkan risiko serangan jantung. Otot yang sihat juga menjamin fleksibiliti badan yang baik dan mengurangkan risiko jatuh dalam kalangan warga emas.
Kawalan tekanan darah dan emosi juga menyumbang kepada kesihatan badan yang lebih baik.
Senaman boleh dilakukan dengan banyak cara. Ideanya adalah untuk meningkatkan kadar nadi lebih daripada nadi normal kita.
Antaranya adalah dengan berjalan, jogging, berbasikal dan juga berenang.
Bersenam di rumah dengan teknik kitaran senaman atau high intensity interval training juga adalah teknik yang berkesan dan menjimatkan masa.
Selain itu, menetapkan target untuk 10 ribu langkah sehari juga adalah cadangan yang baik untuk diamalkan.
Tidur Yang Cukup
Tidur yang mencukupi pada waktu malam adalah penting.
Tidur dalam jadual yang sama setiap hari juga mengelakkan kitaran tidur kita daripada terganggu.
Tidur yang mencukupi adalah sekitar 7-8 jam untuk golongan dewasa.
Tidur yang tidak mencukupi menunjukkan peningkatan risiko untuk mendapat penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, serangan jantung, strok dan banyak lagi.
Kitaran tidur yang tidak baik juga menganggu imbangan hormon dalam badan dan boleh menyumbang kepada kegemukan atau obesiti.
Oleh itu, tidur yang cukup dan berkualiti membantu dalam proses kita mendapatkan kesihatan yang baik.
Kawal Tekanan Perasaan
Penjagaan emosi dan mengelakkan tekanan adalah penting dalam menjaga kesihatan.
Ini kerana, kajian menunjukkan tekanan emosi dikaitkan dengan pelbagai kesan negatif. Antaranya adalah dengan mengganggu sistem pertahanan badan, meningkatkan risiko jangkitan kuman dan penyakit kronik.
Tekanan emosi juga boleh menyumbang kepada penyakit mental dan kebolehan badan untuk pulih daripada sebarang penyakit.
Oleh itu, sentiasa cuba amalkan senaman, dapatkan tidur yang cukup, berkongsi masalah dengan keluarga dan dekatkan diri kepada Tuhan.
Jika ada sebarang tanda kemurungan, segera berjumpa dengan doktor berdekatan dengan anda.
Berhenti Merokok
Seperti yang diketahui, merokok menyumbang kepada pelbagai jenis penyakit yang boleh membawa kepada kematian.
Namun begitu, masih ramai lagi perokok tegar yang sanggup menggadaikan wang ringgit untuk dibakar menjadi asap.
Kajian terbaru juga menunjukkan merokok bukan sahaja memberi kesan kepada si perokok malah kepada orang yang berada berdekatan.
Ini bermakna, seorang ayah yang merokok sebenarnya telah menyebarkan kesan negatif asap rokok tersebut kepada isteri dan anak-anak mereka.
Oleh itu, dalam menjalani gaya hidup yang sihat, merokok adalah perkara yang perlu ditinggalkan.
Pemeriksaan Kesihatan Berkala
Kita tidak tahu jika kita tidak dapatkan pemeriksaan.
Hampir 50% rakyat Malaysia yang menghidapi kencing manis dan darah tinggi tidak tahu mereka menghidapinya.
Ini menyebabkan mereka tidak mendapatkan rawatan dan terus-menerus mengamalkan gaya hidup yang tidak sihat.
Akhirnya, mereka akan hadir ke hospital dengan kesan komplikasi penyakit tersebut seperti serangan jantung dan strok.
Strok dan serangan jantung biasanya akan datang dengan tiba-tiba. Ia juga memberikan kesan kecacatan kepada pesakit jika ia tidak membunuh.
Apabila dimasukkan ke hospital, barulah pesakit tahu dia sebenarnya mempunyai masalah darah dalam gula dan tekanan darah yang tidak terkawal.
Oleh itu, jika anda berumur 4o tahun ke atas, sentiasa dapatkan saringan kesihatan secara berkala sekurang-kurangnya setahun sekali.
Malaysia mempunyai rangkaian kesihatan yang menyeluruh dan perkhidmatan kesihatan adalah sangat murah jika dibandingkan dengan negara lain.
Dengan bayaran RM 1 ke RM 5, kita boleh dapatkan perkhidmatan kesihatan yang bernilai ratusan hingga ribuan ringgit.
Amalkan Intermittent Fasting
Berpuasa di bulan Ramadhan dan puasa sunat tidak seharusnya dilakukan hanya setahun sekali.
Ini kerana berpuasa menunjukkan pelbagai kebaikan kepada kesihatan badan.
Berpuasa dapat meningkatkan rekasi insulin dalam badan, mengelakkan penyakit kronik dan kanser serta membantu mengurangkan berat badan.
Ia boleh dilakukan dengan berhenti daripada makan buat beberapa jam dan makan semula pada tempoh waktu yang ditetapkan.
Sebagai contoh, jika kita berpuasa Ramadhan, berhenti makan sebelum waktu subuh dan berbuka pada waktu maghrib memberikan tempoh puasa hampir 12 jam.
Ada banyak lagi kaedah intermittent fasting yang lain seperti kaedah 16:8 atau berpuasa selang seli.
Mengamalkan puasa setiap minggu seperti puasa sunat hari isnin dan khamis juga membantu kita mendapatkan faedah berpuasa ini.
Sertai Komuniti atau Kumpulan
Dalam setiap perkara yang dilakukan dalam hidup, jika dilakukan berseorangan dikhuatiri kita akan berputus asa di tengah jalan.
Oleh itu, cuba dapatkan sokongan daripada sahabat atau keluarga dan ajak mereka untuk turut serta mengamalkan gaya hidup sihat.
Sertai komuniti sihat yang sentiasa menjalankan aktiviti riadah atau senaman di kawasan perumahan atau kampung anda.
Saya pasti komuniti ini tidak susah untuk anda temui.
Komuniti untuk menguruskan berat badan dan bersenam juga ada di laman web dan media sosial. Buat sahaja carian di Facebook dan anda akan berjumpa dengan page dan group yang bermanfaat.
Kami di sihatologi juga akan bantu anda sihat. Anda tidak keseorangan, okey?
Gunakan Aplikasi Teknologi
Akhir sekali, di era digital ini, manfaatkan aplikasi digital dan laman web untuk kebaikan dan kesihatan kita.
Ada pelbagai aplikasi peranti yang anda boleh muat turun dengan percuma.
Ada aplikasi senaman yang bantu anda rekod jarak larian, jumlah kalori senaman dan memberikan motivasi untuk senaman.
Aplikasi yang bantu anda kira kalori makanan secara terperinci juga banyak pilihan untuk dimuat-turun.
Sebagai contoh, aplikasi Nike Training Club untuk latihan senaman di rumah dan aplikasi MySejahtera untuk periksa gejala COVID-19.
Tidak dilupakan laman seperti sihatologi yang sentiasa memberikan maklumat dan info terkini untuk anda mengamalkan gaya hidup yang sihat.
Jika anda inginkan bantuan aplikasi dalam telefon pintar anda untuk melatih tabiat kesihatan yang lebih baik, kami berikan program latihan dalam aplikasi kami iaitu Just Coach secara percuma dalam panduan Starter Pack: Makan Lebih sihat sihatologi.