Ikan keli sudah menjadi antara pilihan jenis ikan yang sering dimakan oleh masyarakat di Malaysia. Walaupun harganya agak murah, namun terdapat pelbagai khasiat ikan keli yang boleh diperoleh apabila kita memakannya. Ini 5 manfaat ikan keli paling utama kepada tubuh.
Kandungan nutrisi yang ada pada ikan keli
Baik masakan di rumah mahupun hidangan di kedai makan, ikan keli diolah dengan pelbagai resepi yang enak.
Biasanya, ia boleh didapati dalam bentuk ikan keli goreng, ikan keli salai atau ikan keli masak berlada.
Harga ikan keli juga cukup murah dan kerana itulah ia menjadi antara pilihan utama hidangan jika menikmati makan tengah hari di kedai.
Walaupun berharga murah, terdapat banyak manfaat ikan keli yang ramai tidak tahu.
Bagi setiap 100 gram ikan keli, ia mengandungi kandungan nutrisi seperti berikut:
- Protein: 16.38 gram
- Lemak: 2.8 gram
- Kolesterol: 58 mg
- Vitamin D: 12.50 mcg
- Natrium: 43 mg
- Kalium: 358 mg
- Kalsium: 14 mg
- Zat besi: 0.30 mg
- Vitamin B3: 1093 mg
- Vitamin B12: 2.23 mcg
Khasiat ikan keli yang ramai tidak tahu
Sekiranya anda sudah bosan dengan hidangan ikan laut, anda boleh menukar pilihan ikan anda kepada ikan air tawar seperti ikan keli.
Ini kerana, ikan keli sememangnya boleh memberikan pelbagai manfaat kepada kesihatan tubuh kita.
Antara manfaat ikan keli yang paling besar kepada kesihatan tubuh manusia ialah:
Manfaat ikan keli 1: Menjaga kesihatan jantung
Berdasarkan kajian yang diterbitkan pada tahun 2015, ikan keli merupakan antara jenis makanan yang mengandungi asid lemak omega-3.
Asid lemak ini terdiri daripada jenis asid eicosapentaenoic atau EPA dan juga asid docosahexaenoic atau DHA.
Jenis makanan yang tinggi dengan kandungan asid lemak omega-3 sememangnya diketahui memberikan manfaat kepada kesihatan jantung manusia.
Omega-3 berperanan menjaga lapisan arteri jantung daripada mengalami sebarang kerosakan.
Selain itu, nutrisi yang terdapat pada ikan keli juga boleh mencegah penebalan arteri akibat daripada plak yang menjadikan aliran darah lebih lancar.
Asid lemak omega-3 juga dapat menurunkan paras trigliserida dengan memperlahankan pembentukannya.
Jika paras trigliserida ini berada dalam keadaan yang tinggi, ia boleh meningkatkan risiko anda untuk mendapat penyakit jantung.
Khasiat ikan keli 2: Baik untuk kesihatan otak
Keradangan boleh berlaku pada mana-mana bahagian tubuh manusia termasuklah pada bahagian otak.
Jika keradangan pada otak terjadi, ia boleh meningkatkan risiko anda untuk mengalami penyakit Alzheimer.
Perlu diketahui bahawa penyakit Alzheimer boleh menjejaskan kemampuan otak manusia untuk berfikir dengan baik.
Namun, anda juga boleh mencegah risiko keradangan pada otak ini dengan memakan ikan keli.
Ini kerana, ikan keli mengandungi asid lemak omega-3 yang boleh mencegah keradangan daripada berlaku.
Manfaat ikan keli 3: Mencegah penyakit anemia
Penyakit anemia boleh dicegah melalui penyerapan vitamin B12 yang lebih banyak.
Anda tidak perlu risau untuk mendapatkan vitamin B12 kerana ikan keli ternyata memiliki nutrisi ini.
Apabila anda memakan ikan keli, tubuh akan menyerap vitamin B12 ini bagi membantu penghasilan DNA, memberi makan sel saraf selain menggalakkan penghasilan sel darah merah normal.
Oleh itu, ikan keli boleh membantu anda untuk mencegah masalah darah ini selain menjadi menu pilihan bagi mereka yang menghidap anemia.
Khasiat ikan keli 4: Mengurangkan risiko alami strok
Disebabkan ikan keli juga mengandungi kalium, ia boleh membantu anda untuk mengurangkan risiko mengalami strok.
Kalium berperanan menjaga kesihatan otot, saraf dan juga pembuluh darah, sekali gus menurunkan risiko penyakit strok.
Sekiranya kita memakan ikan keli dan mendapat jumlah kalium yang mencukupi untuk keperluan tubuh badan, maka risiko mendapat penyakit strok juga akan semakin berkurangan.
Khasiat ikan keli 5: Menjadikan sistem imun lebih kuat
Ikan keli juga mengandungi kandungan protein yang tinggi, dan ini memberikan kesan positif dengan menguatkan sistem imun tubuh.
Sistem imun yang kuat dapat membantu tubuh untuk melawan serangan jangkitan daripada bakteria, virus mahupun parasit yang lain.
Ini akan menjadikan kita tidak mudah untuk jatuh sakit.
Selain itu, protein juga berperanan penting dalam mempercepatkan proses penyembuhan luka.
Cara memakan ikan keli dengan lebih sihat
Tidak dinafikan bahawa ikan keli mempunyai rasa yang lembut dan juga enak. Namun, anda perlu mengetahui bahawa ikan keli juga tinggi kandungan lemak.
Oleh itu, jika anda ingin memasak ikan keli, cuba kurangkan penggunaan minyak masak atau menggantikannya dengan jenis minyak masak yang lebih sihat.
Selain itu, pilihlah ikan keli yang masih segar sewaktu berkunjung ke pasar.
Ini kerana, kandungan nutrisi ikan keli akan semakin berkurangan jika ikan tidak lagi segar dan anda tidak akan mendapat khasiat ikan keli sepenuhnya.
Sumber: Hello Doktor