Anda semestinya pernah terdengar atau terbaca bahawa makan sebiji epal sehari mampu ‘menjauhkan’ seorang doktor. Adakah buah epal hijau dan merah sememangnya mempunyai nutrisi dan khasiat tersendiri yang mampu mencegah dan melawan penyakit? Ikuti artikel ini untuk mengetahui khasiat buah epal yang mungkin anda tidak tahu.
Khasiat buah epal
Epal atau nama saintifiknya malus domestica adalah sejenis tanaman berbuah dalam genus malus dan keluarga mawar. Ia berasal daripada Asia Barat dan merupakan tanaman yang paling banyak dicucuk tanam di dunia.
Buah epal juga sebenarnya mempunyai 1001 manfaat buat pemakannya dan dapat ‘menjauhkan’ doktor daripada kita.
Meskipun ia bukanlah buah tempatan, ia masih lagi baik dan bagus untuk kesihatan kita. Berikut adalah antara khasiat yang dibawa oleh buah epal:
#1. Bernutrisi tinggi
Sebiji epal secara anggarannya mempunyai kandungan nutrisi seperti berikut:
Kalori: 95
Karbohidrat: 25 gram
Serat: 4 gram
Potasium: 6% daripada Reference Daily Intake (RDI)
Vitamin C: 14% daripada RDI
Vitamin K: 5% daripada RDI
Selain itu, sebiji epal juga mengandungi kandungan polyphenols, vitamin A, E, B1, B2 dan B6 yang mempunyai anggaran sebanyak 2 – 4% RDI.
Kaya dengan Vitamin A, C dan K
Ia adalah sumber vitamin A yang membantu mengekalkan penglihatan yang baik. Selain itu, ia juga adalah sangat kaya dengan vitamin C yang memelihara sel-sel kulit daripada kerosakan oleh radikal bebas dan juga mengurangkan risiko kanser kulit.
Ia juga kaya dengan vitamin K yang memberikannya kemampuan untuk menyembuhkan pembekuan darah.
#2. Baik untuk otak
Menurut kajian, individu yang mengamalkan diet Nordic Prudent Dietary Pattern (NPDP) cenderung mempunyai fungsi kognitif yang lebih bagus berbanding mereka yang makan makanan diproses dan berlemak.
Dalam diet ini, terdapat banyak sayur-sayuran dan buah-buahan yang terbukti mempunyai nutrisi tinggi, antaranya adalah buah ini.
#3. Kesihatan jantung
Buah ini yang tinggi kandungan serat dapat membantu mengawal paras kolesterol agar kandungan kolesterol ‘baik’ melebihi kolesterol ‘jahat’.
Selain itu, terdapat pelbagai lagi kajian di seantero dunia yang menyimpulkan bahawa epal dapat mengurangkan risiko penyakit jantung dan strok ekoran kandungannya yang tinggi serat flavonoid dan quercetin.
#4. Mengurangkan berat badan
Menurut sebuah kajian, individu yang gemar makan buah ini sebagai pembuka selera akan membuat mereka berasa kenyang sebelum makan sajian utama. Ia merupakan langkah yang baik buat mereka yang mengalami berat badan berlebihan atau obesiti.
#5. Mengurangkan risiko diabetes
Menurut pakar, buah yang mempunyai kandungan serat dan flavonoid dapatmembantu menstabilkan kandungan gula dalam darah.
#6. Melawan kanser
Kandungan antioksidan dalam buah ini yang sangat tinggi menjadikan ia antara sumber makanan yang mampu melawan kanser.
Anda harus tahu bahawa kulit buah ini merupakan bahagian yang paling kaya dengan antioksidan. Oleh itu, jangan buang kulitnya apabila hendak memakannya.
#7. Cegah asma
Disebabkan kandungan antioksidannya yang tinggi, buah ini juga mampu melindungi paru-paru anda. Menurut kajian yang dilakukan terhadap 68,000 wanita, mereka yang makan buah ini akan mempunyai risiko menghadapi asma yang rendah.
#8. Membantu perkembangan tulang yang sihat
Makan buah-buahan sememangnya dikaitkan dengan ketumpatan tulang yang lebih kuat. Para pengkaji percaya bahawa antioksidan yang terdapat dalam buah-buahan terutamanya buah ini mampu membantu kekuatan tulang.
#9. Bagus untuk perut
Paling penting, buah ini adalah buah-buahan yang sangat bagus untuk perut. Ini kerana ia mengandungi pectin, sejenis serat yang berfungsi sebagai prebiotik. Buah ini juga adalah tinggi kandungan serat yang mampu membantu sistem pencernaan anda.
Epal merah vs epal hijau
Ya, epal merah sudah tentu lebih digemari daripada epal hijau kerana rasanya yang lebih menarik. Pun begitu, yang mana satu sebenarnya lebih berkhasiat untuk kita?
Menurut sebuah laporan kesihatan daripada Amerika Syarikat, satu cawan epal hijau mengandungi 14 gram karbohidrat manakala satu cawan epal merah pula mengandungi 15 gram karbohidrat.
Ia sebenarnya adalah tidak banyak berbeza dan kebanyakan pakar diet akan mengesyorkan untuk mengambil 45% kalori daripada karbohidrat.
Kandungan Gula
Buah ini sangat terkenal dengan khasiat yang mampu melawan penyakit diabetes. Epal merah mengandungi kandungan gula yang lebih manis dan tidak masam. Tetapi jika dikira daripada jumlah kandungan gula, epal hijau lebih selamat untuk penghidap diabetes.
Buah ini juga terbukti megandungi lebih banyak nutrisi terutamanya pada bahagian kulitnya. Tidak kira merah atau hijau, anda disarankan untuk tidak memarut kulitnya sebelum memakannya.
Kedua-duanya adalah berkhasiat apatah lagi jika ia adalah jenis yang organik.
Paling penting, anda tidak digalakkan makan buah ini melebihi enam biji sehari kerana kadar gula dalam tubuh akan meningkat. Jangan sesekali mengamalkan diet yang hanya makan buah ini setiap hari tanpa mengambil makanan lain.
Cukup hanya satu atau dua biji sahaja sehari.
Secara umumnya, epal merah adalah lebih digemari kerana rasanya yang lebih sedap dan manis. Tidak ramai individu yang menggemari epal hijau kerana rasanya yang sedikit masam.
Sebenarnya, ia juga akan mendatangkan banyak manfaat kesihatan dan kecantikan kepada pemakannya. Ia dilengkapi dengan nutrien, serat, mineral dan vitamin yang baik untuk keseluruhan kesihatan secara total.
Konklusi
Konklusinya, sama ada epal hijau atau merah, kedua-dua buah ini ini sangat menyihatkan dan membawa banyak manfaat.
Bukan setakat kesihatan sahaja, ia juga baik untuk kecantikan tubuh badan anda terutamanya kulit wajah. Oleh itu, sememangnya ia boleh mmebuatkan kita kurang ke klinik untuk berjumpa doktor, kerana manfaat yang ada pada buah ini.
Jadi, apa kata anda masukkan buah ini ke dalam diet anda.