Rutin skincare mana yang sesuai dengan saya?
Artikel ni ditulis asalnya sebagai nota untuk kawan rapat kak Nita yang keliru, yang baru nak bermula dengan skincare.
Langkah-langkah yang kak Nita tulis ni adalah berdasarkan pengalaman dan pengetahuan kak Nita sendiri sebagai seorang skincare enthusiast dan bukan mana-mana pengamal perubatan.
Jika anda mempunyai masalah kulit serius, silalah berjumpa dengan pakar kulit yang bertauliah.
8 Langkah membina rutin skincare anda sendiri
8 langkah rutin skincare ni ditulis, diedit dan dibancuh sebaik mungkin supaya sesuai dengan mereka yang mempunyai bajet rendah.
Kak Nita faham sebab masa dulu pun kak Nita tak banyak duit untuk bina rutin skincare mahal-mahal.
Langkah-langkah ini juga disusun mengikut prioriti dan kepentingan sesuatu produk itu kepada keseluruhan rutin skincare. Ini adalah langkah untuk membina rutin skincare itu sendiri dan bukannya langkah urutan pemakaian produk. Untuk langkah pemakaian produk boleh rujuk artikel “Tips Penjagaan Muka: 5 Asas Terpenting Dalam Menjaga Kulit Muka”.
Jadinya, anda boleh bermula membeli satu-satu produk terlebih dahulu mengikut urutan kepentingan. Jangan paksa diri beli semua sekaligus jika tak mampu.
Langkah pertama: Kenali jenis kulit muka anda.
Ada lima jenis kulit muka yang utama:
Kulit normal
Kulit berminyak
Kulit kering
Kulit kombinasi
Kulit sensitif
Kenapa perlu tahu jenis kulit kita?
Sebabnya, produk yang baik adalah produk yang diformulasikan khas untuk jenis kulit anda.
Ia juga memudahkan anda untuk memilih produk yang sesuai daripada lambakan produk kecantikan yang ada kat luar sana.
Kalau anda masih lagi tak tahu jenis kulit apa yang anda ada, boleh rujuk artikel “Jenis kulit muka saya yang mana satu?”.
Langkah kedua: Kenali masalah kulit muka yang anda hadapi (jika ada).
Kenalpasti apa masalah muka yang anda nak hilangkan? Semua orang mempunyai gabungan masalah kulit yang berbeza.
Pentingnya langkah ini adalah untuk anda fokus dengan masalah kulit muka yang anda nak selesaikan.
Bila dah tahu masalah-masalah ni, lebih mudah untuk kita mengenalpasti produk mana yang lebih sesuai untuk rutin skincare kita, mengikut formulasi dan kandungan bahan aktif yang ada dalam produk tersebut.
Sekaligus memudahkan kita untuk memilih produk kecantikan.
Memahami masalah ni juga membantu kita untuk bijak berfikir mengenai keperluan kulit muka kita dan mengelakkan daripada membeli membuta tuli.
Percayalah, memahami masalah anda sebaiknya akan membantu menyelamatkan kulit muka dan juga ketebalan dompet anda.
Langkah ketiga: Mulakan dengan perlindungan.
Perlindungan yang kak Nita maksudkan ni adalah perlindungan daripada sinar UV.
Bagi kak Nita, tak guna kita mempunyai rutin sampai 10 langkah ala selebriti Korea sekalipun kalau tidak diakhiri dengan produk yang melindungi kulit kita daripada sinar UV.
Melindungi kulit kita daripada sinar UV adalah aktiviti paling utama dalam rutin skincare.
Dia macam bumbung rumah kita. Tak guna ada perabot jati, karpet baldu mahal-mahal kalau rumah tak berbumbung.
Fahamkan dulu istilah penting yang selalu kita nampak dekat produk sunscreen/sunblock. Baca artikel “Sunscreen: Betul ke kena pakai hari-hari?”
Bila nak membeli tu kena ingat ya, ada sunscreen yang boleh pakai kat muka, ada yang khas untuk pakai dekat badan je. Ada beza tu, selalunya sunscreen untuk muka boleh pakai untuk badan sekali, tapi kalau kak Nita akan beli dua sunscreen berbeza. Satu untuk muka, satu lagi untuk badan. Sebabnya sunscreen untuk muka ni lagi mahal berbanding sunscreen untuk badan.
Jadinya dengan membeli satu sunscreen untuk muka dan yang lain untuk badan adalah lebih jimat berbanding beli satu sunscreen je untuk jangka masa panjang.
Langkah keempat: Pilih pencuci muka yang sesuai.
Kalau untuk sunscreen tadi kita guna di hujung sekali rutin kita, cleanser adalah langkah terawal dalam mana-mana rutin skincare.
Sebelum kita pergi shopping untuk mana-mana cleanser, suka untuk kak Nita ingatkan kegunaan sebenar cleanser adalah untuk membasuh muka kita daripada kotoran, debu, dan sisa-sisa makeup.
Itu sahaja yang kita perlu fokuskan bila nak beli pencuci muka ni. Kalau kita tengok kat luar sana, ada beribu pilihan yang ada untuk pencuci muka, macam mana nak tapis semua ni?
Senang kalau anda dah tahu jenis kulit muka dan apa masalah yang anda ada. Bila dah tahu, boleh ketepikan semua pilihan yang tak berkaitan dan pilih cleanser yang sesuai untuk jenis dan masalah kulit muka anda sahaja.
Boleh baca artikel “Pencuci muka yang mana paling sesuai untuk muka anda?” untuk tahu jenis-jenis produk pencuci muka yang ada dan mana yang paling sesuai untuk anda.
Langkah kelima: Produk pembaikpulih wajah (jika perlu).
Dah kenalpasti masalah kulit wajah anda di langkah dua kan? Inilah masanya untuk kita tengok apa produk yang diperlukan untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Jika anda tidak mempunyai masalah kulit wajah yang serius, boleh terus pergi ke langkah seterusnya.
Masalah yang selalu dihadapi oleh rata-rata orang Malaysia adalah masalah jerawat dan jeragat.
Kenalpasti apa produk yang diperlukan untuk masalah yang anda ada dan beli tu dulu sebelum ke langkah seterusnya.
Langkah keenam: Pelembap wajah (moisturizer).
Seterusnya kita pergi pulak kepada pelembap wajah; yang mana fungsinya adalah untuk memberi dan mengekalkan kelembapan kulit.
Pelembap wajah ni pulak datang dalam pelbagai bentuk dan kebanyakan moisturizer sekarang mempunyai pelbagai fungsi tambahan, untuk tahu moisturizer mana yang sesuai dengan kulit anda boleh rujuk artikel “Moisturizer yang mana paling kena dengan muka anda?”
Langkah ketujuh: Toner.
Toner yang kak Nita selalu guna adalah toner yang 100% bebas alkohol ya. Jangan guna toner yang mengandungi alkohol kerana ia akan mengeringkan kulit anda, lebih-lebih lagi mereka yang mempunyai kulit kering dan sensitif.
Secara asasnya toner yang kak Nita cari dan guna akan menepati tiga fungsi berikut:
- Menyediakan bahan aktif yang penting untuk kulit.
- Menghidratkan dan memulihkan kulit rosak.
- Memberi fungsi cucian tambahan.
Nak tahu lebih lagi apa toner ni sebenarnya?
Baca dan hadamkan artikel “Toner dan kenapa anda patut masukkannya dalam rutin skincare.”
Langkah kelapan: Exfoliator.
Exfoliate dalam Bahasa Melayu maksudnya terkelupas, dan secara semulajadi kulit kita mengelupaskan lapisan kulit mati secara sendirinya.
Tapi, bila usia kita makin meningkat dan terdapatnya faktor seperti pendedahan kepada cahaya matahari, pengelupasan ni boleh menjadi perlahan atau berhenti. Kesannya menjadikan kulit kita kusam, kering, berkeping, mudah berkedut, tidak anjal dan juga menyebabkan tona kulit tak rata.
Jadi apa exfoliator ni buat adalah membantu kulit kita untuk mengelupaskan sel kulit mati tadi seperti mana ketika usia kulit kita muda. Sekaligus menjadikan kulit wajah kita berseri, lembap, lebih tegang, anjal dan rata tona warnanya.
Nak tahu lagi lanjut macam mana nak pilih exfoliator, boleh hadam artikel “Exfoliator: Keperluan atau buang duit je?”
Langkah kelapan: Booster tambahan.
Kalau anda dah lengkapkan tujuh langkah sebelum ni tahniah kak Nita ucapkan sebab dah ada asas rutin skincare sendiri. Langkah lapan ni adalah langkah tambahan yang anda boleh ambik untuk menjadikan kulit anda lebih mulus dan jelita gitu.
Jadi booster tambahan apa yang saya patut pakai kak Nita?
Seperti biasa bergantung kepada jenis kulit muka, dan apa keperluan kulit yang masih tak dipenuhi. Untuk booster tambahan ni kak Nita cadangkan untuk anda buat scan muka terlebih dahalu samada di spa, klinik atau mana-mana Aeon Wellness berdekatan.
Selalunya daripada keputusan scan tu, anda akan mendapat nasihat daripada pakar berkenaan dengan apa keperluan kulit anda.
Antara produk booster tambahan yang kak Nita selalu tergila-gila beli adalah mask muka. Ya, kak Nita tahu dia bukanlah asas tapi siapa yang tak suka feel good feeling lepas pakai mask kan?
Dah ada rutin skincare anda sendiri?
Itulah dia langkah ringkas membina rutin skincare anda mengikut urutan kepentingan. Jangan lupa untuk patch test terlebih dahulu apa-apa produk yang anda nak cuba lebih-lebih lagi untuk mereka yang berkulit kering dan sensitif.
Tak tahu macam mana nak buat patch test? Boleh baca artikel “Patch test: Cuba sebelum guna, cara pengguna bijak memilih produk kecantikan” ni.
Cuba kongsikan dengan kak Nita di ruangan komen di bawah rutin skincare anda, kak Nita nak tengok produk apa yang selalu orang pakai.
Credit : GetJelita